Search This Blog

07 Disember 2012

Cerita Moral 9


Satu Hari Satu Cerita


 Paku Di Batang Kayu

Tersebutlah kisah di satu ketika, ada seorang lelaki yang sangat cepat dan selalu marah. Kadang-kadang marah hanya sebab masalah kecil, tapi beliau selalu tidak dapat menahan kemarahan beliau. Kalau dia tersepak batu pun, habislah batu tersebut disumpah seranahnya.

Si bapa lelaki ini telah dapat memikirkan cara untuk anaknya mengurangkan sifat marah. Si bapa telah memberikan anaknya yang pemarah itu sekotak paku, tukul dan batang kayu. Kata bapanya,"Anakku, setiap kali kau marah, benamkanlah sebatang paku ke dalam batang kayu ini." Si anak patuh dengan arahan bapanya dan dia membenamkan sebatang paku setiap kali beliau marah. Untuk hari pertama sahaja, beliau telah membenamkan hampir 30 batang paku. Pada hari kedua, si anak telah mengurangkan marahnya di mana bilang paku yang telah dibenamkan berkurang kepada 27 batang, dan terus berkurang pada hari-hari seterusnya sehingga tiada lagi paku yang dibenamkan pada beberapa minggu kemudiannya. Si anak kini telah berubah, beliau tidak lagi cepat marah.

Melihat perubahan anaknya, si bapa pun berkata kepada anaknya, "Syukurlah, kau bukan lagi pemarah seperti dahulu. Sekarang, setiap kali kau menahan perasaan marah, cabutlah sebatang paku daripada batang kayu tersebut." Maka si anak mencabut setiap paku yang ada setiap kali beliau menahan marah sehingga tiada lagi paku yang ada di batang kayu tersebut.

Si anak yang gembira pun menunjukkan batang kayu yang telah bersih daripada paku tersebut dengan ayahnya. Seraya ayahnya pun berkata,"Kau telah melakukannya dengan baik, anakku. Namun, cuba kau lihat kesan paku pada kayu tersebut. Walaupun tiada lagi paku di situ, namun kesannya masih jelas kelihatan di batang kayu tersebut. Apabila kau berkata sesuatu dengan perasaan marah, ia akan meninggalkan kesan sama seperti di kayu ini. Kau boleh menikam sebatang pisau pada badan seorang lelaki dan mencabutnya. Namun, tidak kira berapa banyak kau meminta maaf, luka yang tidak dapat dilihat itu akan terus ada. Memarahi seseorang secara verbal tetap sama dengan menyerang secara fizikal, malah ada ketikanya ia meninggalkan kesan yang lebih mendalam."


Nilai Murni:
1. Jangan cepat marah.
2. Jaga percakapan kita. kadangkala kita tak menyangka apa yang kita cakap boleh menggu- 
     ris perasaan orang lain. Sebab itulah kita dianjurkan supaya berdiam diri seandainya tiada  
     perkara penting yang ingin dicakapkan.
3. Sayangilah dan hargailah rakan anda.
4. Jagalah perasaan orang lain seandainya kita mahukan orang lain menjaga perasaan kita 

Tiada ulasan: