Search This Blog

03 Disember 2012

Cerita Moral 5


Satu Hari Satu Cerita 


Ayah,anak dan seekor unta

Kisah ini terjadi diperkampungan orang Badwi di padang pasir, di sebuah negeri Arab. Dikatakan dua beranak ini, ayah dan anaknya, ingin pergi ke pekan untuk menjual unta. Maka berjalanlah mereka berdua melalui sebuah kampung.

Selepas melintasi sekumpulan orang kampung, terdengar seorang berkata, "Eh, tengok kedua-dua orang itu! Betapa bodohnya mereka, ada unta tetapi kedua-duanya berjalan." 

Mereka terfikir benar juga kata orang itu. Lalu ayahnya berkata, "Hai anakku, kautunggangi unta ini sambil menuju ke pasar!" Lalu anaknya mengikut perintah. 

Beberapa ketika, sampailah mereka di sebuah kampung. Terdengar oleh mereka suatu percakapan, "Tengok di sana itu. Zalim sungguh anak itu, membiarkan bapanya  berjalan, sedangkan dia sedap-sedap sahaja menunggang unta." 

Mendengar kata-kata itu, maka anaknya pun memberitahu, "Hai ayahku, naiklah ke belakang unta! Biar anakanda yang berjalan pula."

Ketika melintasi suatu tempat, mereka mendengar ada orang berkata, "Alangkah zalimnya orang tua itu! Dia menunggang unta, sedangkan anaknya pula dibiarkannya berjalan kaki."
Lalu mereka berdua pun berjalan kaki.

Mereka  sampai pula di sebuah kampung, melintasi kawasan orang ramai. Lalu, terdengar suara, "Alangkah bodohnya orang itu! Ada unta berjalan kaki pula, sedangkan unta untuk ditunggangi." 

Mendengar kata-kata itu, kedua-dua mereka berfikir, memang ada betulnya.

Maka berkata ayah kepada anaknya, "Silalah naik ke belakang unta! Mudah-mudahan kita berdua tidak dikatakan bodoh oleh orang-orang yang melihat."

Mereka sedar, semua yang mereka lakukan hari itu hanyalah kerana ingin memuaskan kata-kata orang. Apa sahaja yang mereka lakukan, semuanya tidak kena mengikut pandangan orang.  

Berkatalah si ayah itu kepada anaknya, "Mulai saat ini, kita jangan mendengar kata-kata orang. Lakukan sesuatu yang kita fikir benar dan berbuatlah sesuatu mengikut apa yang kita fikirkan benar."



NILAI MURNI

      Sememangnya begitulah yang sepatutnya kita bertindak. Kita tidak perlu berbuat sesuatu kerana hanya ingin memuaskan kehendak orang lain. Kita hanya perlu mendengar nasihat orang yang tahu masalah kita. Jangan sesekali bertindak kerana ingin memuaskan hati orang lain. 
      Oleh itu, berhati-hatilah mendengar kata-kata orang. Tidak semuanya benar dan baik untuk kita.


Tiada ulasan: