Satu Hari Satu Cerita
ANAK IKAN YANG SUKA MENIPU
Di sebuah lautan, terdapat
seekor anak ikan yang nakal. Ia bernama Tony. Tony tidak disenangi
rakan-rakanya kerana ia suka menipu dan mempermain-mainkan mereka. Ketika
ikan-ikan lain sedang bermain, Tony akan menjerit, “Jerung! Jerung! Bersembunyi
cepat!” Ikan-ikan itu ketakutan lalu lari dan bersembunyi di celah-celah batu.
Tony akan mentertawakan rakannya itu. Ikan-ikan kecil amat takut dengan jerung.
Jerung yang garang itu akan memakan mereka tanpa belas kasihan.
Sebab itulah mereka akan
lari ketakutan apabila Tony menjerit, “Jerung! Jerung!” Namun Tony sungguh
nakal. Ia berasa seronok dapat mempermain-mainkan rakan-rakanya. Ikan-ikan
kecil itu mempercayai Tony, walaupun mereka selalu tertipu dengan helah Tony.
Pada suatu hari, Tony menghampiri rakan-rakanya itu. Ia ingin mempermainkan
mereka seperti biasa. Tiba-tiba muncul seekor jerung menghampiri mereka. Namun
Tony tidak menyedari kehadiran jerung itu. “Jerung! Jerung!” Bersembunyi
cepat!” Jerit ikan-ikan itu. Ikan-ikan itu lari lalu bersembunyi di celah-celah
batu. Tony tidak menghiraukan jeritan rakan-rakanya. Ia menyangka mereka cuba
mepermain-mainkanya. “Baiklah, kamu semua menang! Di sini mana ada jerung! Tak
usahlah kamu semua mempermain-mainkan aku!” jerit Tony. Jerung itu berenang
menghampiri Tony. Tony tidak sempat melarikan diri. Ia dimakan oleh jerung itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan